AGENDA

Bomba Selangor siap siaga hadapi fenomena air pasang besar

11 Okt 2022, 1:00 PM
Bomba Selangor siap siaga hadapi fenomena air pasang besar

SHAH ALAM, 11 OKT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor bersiap siaga sebarang kemungkinan sepanjang fenomena air pasang besar yang dijangka melanda beberapa kawasan di Selangor sehingga Khamis ini.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya akan memastikan pemantauan di sebelah pagi dan petang dibuat terutamanya di beberapa lokasi titik panas sepanjang fenomena air pasang tersebut.

“Antara lokasi titik panas yang dikenal pasti adalah Pelabuhan Klang, Kuala Selangor, Sungai Pinang, Teluk Panglima Garang, Sungai Besar, Sekinchan dan Kapar,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Norazam turut menasihat orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan paras kenaikan air dan mengikut arahan pasukan penyelamat.

“Jika ada arahan untuk berpindah, mohon penduduk untuk mengikut nasihat pasukan penyelamat,” katanya.

Sementara itu, mengulas kejadian ban pecah di Tanjong Karang awal pagi tadi, beliau berkata ban tersebut telah siap dibaiki oleh Jabatan Pengaliran dan Saliran Selangor.

Pada Ahad lepas, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam perkongsian melalui Facebook memaklumkan bahawa Pusat Hidrografi Nasional meramalkan air pasang besar berlaku pada 8 hingga 13 Okt ini di beberapa kawasan iaitu Kuala Muda, Kedah; Bagan Datuk, Perak; Pelabuhan Klang, Selangor; serta Batu Pahat dan Pontian di Johor.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619