AGENDA

Kerajaan bawa pulang 63 jemaah umrah terkandas di Arab Saudi sejak Jun

7 Okt 2022, 3:52 PM
Kerajaan bawa pulang 63 jemaah umrah terkandas di Arab Saudi sejak Jun

PUTRAJAYA, 7 OKT: Seramai 63 orang jemaah umrah warganegara Malaysia terdiri daripada 28 dewasa dan 35 kanak-kanak terkandas di Arab Saudi sejak Jun 2022.

“Kesemua jemaah telah dibawa ke Madinah oleh kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah untuk mengerjakan ibadah umrah pada Mac lepas,” kata kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Wisma Putra dan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Bagaimanapun, katanya, mereka hanya berada di Madinah sehingga hari ini dan tidak pernah dibawa ke Mekah untuk menyempurnakan ibadah umrah.

“Susulan daripada pelanggaran undang-undang tempatan, ketua kumpulan tarekat berkenaan telah diusir keluar oleh Kerajaan Arab Saudi pada 20 Ogos 2022.

“Kerajaan Malaysia bersetuju untuk membantu urusan penghantaran pulang para jemaah yang sedang terkandas ini dengan usaha dan kerjasama antara agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut Wisma Putra dan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama dengan Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan menyelaraskan urusan penghantaran pulang para jemaah berkenaan ke tanah air dalam masa terdekat.

“Kementerian Luar Negeri sentiasa berusaha untuk memastikan keselamatan dan kebajikan Keluarga Malaysia yang berada di luar negara sentiasa terpelihara,” katanya.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619