ADN

Ban di kawasan banjir DUN Kota Kemuning selesai dibaik pulih

3 Okt 2022, 12:00 PM
Ban di kawasan banjir DUN Kota Kemuning selesai dibaik pulih

SHAH ALAM, 3 OKT: Kerja baik pulih ban di beberapa kawasan titik panas banjir sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning selesai dilaksana melalui peruntukan Kerajaan Selangor.

Wakil rakyatnya V Ganabatirau berkata naik taraf membabitkan Kampung Bukit Lanchong, Lanchong Jaya, Alam Megah, Kampung Baru Hicom dan Taman Sri Muda diharap mengurangkan limpahan air ketika hujan lebat.

"Pada masa sama, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengambil langkah proaktif membersihkan beberapa longkang di kawasan ini termasuk membina longkang dan dinding konkrit yang menelan belanja RM28 juta," katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, jelas beliau projek pemasangan rumah pam di beberapa lokasi berkaitan belum dimulakan selain meminta disegerakan bagi mengelak banjir berulang susulan ramalan fenomena air pasang besar.

EXCO kerajaan negeri itu turut menggesa kerajaan persekutuan menunaikan janji untuk melaksanakan projek menangani isu banjir di Selangor melalui pengumuman dana RM10 bilion.

"Setakat ini saya belum nampak sebarang projek daripada kerajaan pusat terutama di kawasan saya. Saya harap mereka bukan cakap-cakap kosong sebaliknya buat sesuatu dengan lebih awal.

"Sepatutnya dari awal lagi perancangan perlu dibuat dengan sempurna di sepanjang Sungai Klang. Saya bimbang Taman Sri Muda sekali lagi menjadi mangsa," katanya lagi.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan Selangor mengalami peralihan monsun barat daya kepada monsun timur laut dengan kadar taburan hujan antara 100 hingga 400 milimeter (mm) bermula pertengahan bulan ini hingga Disember.

Pada akhir Disember tahun lalu, Taman Sri Muda antara yang teruk terjejas banjir susulan hujan lebat luar biasa, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619