AGENDA

Permaisuri Agong seru kerajaan tubuh pusat latihan pesakit demensia

1 Okt 2022, 11:31 AM
Permaisuri Agong seru kerajaan tubuh pusat latihan pesakit demensia

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini menyeru kerajaan menubuhkan pusat latihan khusus berkaitan penjagaan pesakit demensia.

Seri Paduka bertitah ini kerana penyakit yang dihidapi golongan warga emas itu memerlukan penjagaan yang rapi, justeru, latihan khusus kepada penjaga pesakit demensia wajar dilaksanakan.

“Saya menyeru kerajaan supaya membuat sesuatu mengenai demensia…mungkin boleh pergi (lawat) pusat sedemikian seperti di Sweden dan kemudian menubuhkannya di negara ini,” titah Seri Paduka.

Tunku Azizah bertitah demikian ketika berkenan berangkat mencemar duli dalam majlis perasmian Hari Warga Emas Kebangsaan 2022 di Dewan Tun Hussein, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Seri Paduka turut menasihati orang ramai terutamanya golongan warga emas untuk mengaktifkan diri melalui pelbagai aktiviti bermanfaat seperti menyertai program sukarelawan dalam usaha mengelak daripada menghidap demensia.

“Ingin saya kongsikan, saya ada mak saudara di Johor, berusia 90 tahun…baru-baru ini saya pulang ke Johor, mohon untuk menghadap tetapi mak cik saya cakap boleh datang tengah hari kerana pagi ada mesyuarat yang hendak dipengerusikan.

“Terbukti, usia tidak membataskannya untuk berkecimpung dalam persatuan-persatuan sukarelawan dan itu yang membuatkan mak cik saya tiada demensia kerana sentiasa aktif,” titah Tunku Azizah.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Timbalannya Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619