AGENDA

Hampir 16,000 anggota, 164 bot siap sedia hadapi bah Selangor

28 Sep 2022, 8:13 AM
Hampir 16,000 anggota, 164 bot siap sedia hadapi bah Selangor

SHAH ALAM, 28 SEPT: Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor bersiap sedia menghadapi fenomena air pasang dan Monsun Timur Laut dengan menempatkan 15,972 anggota pelbagai agensi di seluruh negeri.

Setiausaha Bahagian (Khidmat Pengurusan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Muhamad Shah Osmin berkata setiap anggota terlibat dalam menguruskan sebarang kemungkinan sekiranya berlaku banjir besar.

"Persiapan tahun ini kita laksana dengan lebih awal dengan menyiapkan anggota. Bukan sahaja di peringkat negeri, malah di peringkat daerah seperti ketua kampung, wakil penduduk juga boleh laksana kerja-kerja pengurusan.

"Pengurusan bencana tidak seharusnya dilaksana di peringkat agensi semata-mata tetapi perwakilan penduduk dan mangsa sendiri berperanan serta bertanggungjawab bagi memastikan insiden banjir dapat ditangani dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Latih Amal dan Simulasi Bencana Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini, hari ini.

Muhamad Shah juga memaklumkan, sebanyak 164 buah bot disediakan dan ditempatkan di semua daerah bagi berhadapan dengan insiden banjir.

"Bot ini tidak termasuk dengan aset-aset lain seperti lori dan kenderaan pacuan empat roda," katanya.

Latih Amal dan Simulasi Bencana Negeri Selangor diadakan selama dua hari sehingga esok melibatkan 343 peserta daripada 67 agensi antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan pihak berkuasa tempatan.

Simulasi itu diadakan sebagai persediaan menghadapi bencana banjir antaranya berkaitan operasi mencari dan menyelamat, pembukaan bilik gerakan dan bantuan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619