AGENSI

Pengamal media, pempengaruh bantu promosi industri halal Selangor

16 Sep 2022, 2:08 AM
Pengamal media, pempengaruh bantu promosi industri halal Selangor

SHAH ALAM, 16 SEPT: Seramai 40 pengamal media tempatan dan pempengaruh menyertai program Fam Trip bagi mempromosi industri halal Selangor pada Isnin hingga Rabu lalu.

Program diselaras Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) dengan kerjasama Pertubuhan Media Negeri Selangor mendedahkan peserta kepada produk halal meliputi makanan, farmaseutikal, kosmetik, kewangan, hiburan dan pelancongan.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata selain menyebar luas usaha negeri merancakkan sektor halal, program tiga hari membantu memperkenalkan produk usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).

"Program ini juga dapat mendidik pemain industri yang mendapat sijil Halal Malaysia menyimpan maklumat dan dokumen aktiviti mereka sebagai rekod atau kajian kes untuk rujukan penggiat industri lain.

"Malah kita juga dapat mendidik masyarakat cara menyampaikan maklumat yang tepat dan meyakinkan berkaitan industri halal," katanya kepada SelangorKini.

Antara perusahaan dilawati peserta ialah Saudagar Nanas Agrofarm, House of Kambing, Chatime Malaysia, Dermalene Skin Care, Mutiara Pick - Buah Tin, Ayamas, Abaya Dubai, Aku Suka Kopi, Muzium Coklat dan Amirul Grocer Seksyen 15.

Sementara itu, Mohd Zawawi berkata pihaknya akan memperbanyakkan program tersebut bagi membantu pemain industri yang terjejas ketika pandemik Covid-19 untuk bangkit dalam perusahaan masing-masing.

"Pandemik yang melanda dunia bukan sahaja menjejaskan ekonomi dunia, malah mengubah landskap kehidupan masyarakat. Jadi kita akan pelbagaikan lagi program seumpama ini.

"Usaha sebegini sedikit sebanyak membantu penggiat industri halal di negeri ini untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam norma baharu," katanya lagi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619