AGENDA

Punca nahas helikopter Eurocopter di Bidor kini disiasat pihak berkuasa

13 Sep 2022, 6:07 AM
Punca nahas helikopter Eurocopter di Bidor kini disiasat pihak berkuasa

IPOH, 13 SEPT: Biro Siasatan Kemalangan Udara dan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan siasatan di kawasan kejadian helikopter Eurocopter EC120B yang terhempas di Hutan Simpan Chikus dekat Bidor pada Ahad, bagi mengenal pasti punca nahas mengorbankan juruterbang helikopter terbabit.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata justeru kawasan tersebut kini dikawal rapi bermula hari ini, dan bangkai helikopter ini kemudiannya akan diserahkan kepada pemilik untuk tindakan selanjutnya selepas siasatan selesai.

“Bedah siasat ke atas mangsa nahas telah dijalankan pada 9 pagi tadi di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya menerusi kenyataan.

Mohd Yusri berkata pihaknya dimaklumkan bahawa isteri mangsa masih berada di luar negara dan dijangka akan tiba dalam masa terdekat.

Media melaporkan mayat juruterbang, Tsz Kin Richard Chan, 58, warganegara Hong Kong ditemukan pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di bahagian kokpit helikopter pada Isnin.

Pada Ahad, helikopter jenis Eurocopter milik syarikat swasta itu terputus hubungan pada kira-kira pukul 12.16 tengah hari, dengan lokasi terakhir dilaporkan di sekitar kawasan hutan dekat Bidor.

Helikopter itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini pada 12.37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11.37 pagi.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619