AGENDA

Air pasang besar: Ban, kunci air di Klang dalam keadaan baik

13 Sep 2022, 12:10 AM
Air pasang besar: Ban, kunci air di Klang dalam keadaan baik

KLANG, 13 SEPT: Ban dan kunci air di seluruh daerah ini dalam keadaan baik hasil penyelenggaran berterusan dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Pegawai Daerah Klang Shahman Jalaludin bagaimanapun berharap tiada masalah timbul sekiranya daerah itu dilanda hujan lebat khususnya sepanjang fenomena monsun barat laut mulai pertengahan bulan ini hingga Disember.

"Setakat ini kunci air dalam keadaan baik memandangkan pihak berkaitan (JPS) mengambil langkah awal dengan membaiki mana-mana kerosakan yang ada. Kita harap ia berfungsi apabila diperlukan.

"Pihak berkenaan juga telah meninggikan ban yang rosak dan bocor," katanya dalam sidang media selepas meninjau ban Pengkalan Tok Muda, Kapar semalam.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan tiada kerosakan ban di daerah ini susulan air pasang besar yang mencapai paras 5.46 meter(m) awal pagi semalam.

"Ini bermakna ban kita mampu menampung paras air hingga 5.5m. Jika berlaku kerosakan kecil itu perkara biasa," katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan Selangor menghadapi peralihan monsun barat daya kepada monsun timur laut dengan kadar taburan hujan antara 100 hingga 400 milimeter(mm) mulai pertengahan bulan ini hingga Disember.

Dalam tempoh sama, fenomena air pasang besar juga dijangka berlaku di kawasan pesisir laut sepanjang Pelabuhan Klang dengan paras air laut tertinggi dijangka mencapai 5.5,.

Keadaan itu boleh menyebabkan air laut melimpah masuk ke kawasan penempatan penduduk selain risiko banjir jika bertembung dengan hujan lebat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619