AGENDA

MRT Corp diminta beri perincian pembinaan MRT3 di Taman Kencana

12 Sep 2022, 12:28 PM
MRT Corp diminta beri perincian pembinaan MRT3 di Taman Kencana

SHAH ALAM, 12 SEPT: Kerajaan Selangor memberi tempoh dua minggu kepada Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) untuk membentang perincian berhubung rancangan pembinaan stesen Transit Aliran Massa (MRT) 3 di Taman Kencana di sini kepada kepada jawatankuasa yang terlibat, sebelum sebarang kata putus dan kelulusan berhubung pembinaannya boleh diberikan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor Izham Hashim berkata Kerajaan Negeri tidak menolak segala bentuk kemajuan infrastruktur, namun ia haruslah seiring dengan keperluan masyarakat setempat.

“Semalam saya mengadakan pertemuan bersama wakil penduduk Taman Kencana bagi menjelaskan kekeliruan berhubung projek MRT-3,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Menurutnya pertemuan itu adalah susulan daripada mesyuarat khas beliau bersama pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) Selangor, Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Selangor, MRT Corp serta jabatan dan agensi yang terlibat dalam pembinaan MRT-3.

“Saya telah memberi penerangan terperinci, garis masa serta pilihan reka bentuk stesen MRT Taman Kencana kepada wakil penduduk yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata diharapkan hasil pertemuan itu dapat meredakan kekeliruan yang berlaku kepada penduduk Taman Kencana yang terlibat dalam perancangan pembinaan projek berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, Izham mendakwa kerajaan negeri tidak pernah menerima cadangan jajaran baharu projek MRT3 yang melibatkan kawasan Taman Kencana.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619