AGENDA

Ingatan Pak Lah merosot, sukar untuk bercakap - Khairy

11 Sep 2022, 9:27 AM
Ingatan Pak Lah merosot, sukar untuk bercakap - Khairy

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menghidap demensia, dedah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata pendedahan penyakit bapa mentuanya itu dibuat selepas berbincang dengan ahli keluarga lain kerana ramai bertanya mengenai kesihatan Abdullah atau lebih mesra dengan panggilan Pak Lah.

"Pak Lah memang ada demensia dan demensia beliau satu keadaan yang sedang merosot (dan) sudah pasti nama ahli keluarga pun dia tak boleh nak sebut... Kenal tu mungkin dia kenal, nampak macam kenal tetapi dah sampai tahap di mana dia susah untuk bercakap.

"Saya tanya isteri saya, ibu mentua saya dan abang ipar saya tadi. Saya kata, ada yang tahu dan ada yang tidak tahu boleh tidak saya beritahu (keadaan Abdullah kepada umum)?," katanya dalam sidang media hari ini.

Khairy berkata demikian pada Majlis Pelancaran Panduan Amalan Klinikal (CPG) Pengurusan Demensia (Edisi Ketiga) dan Pengurusan Schizophrenia (Edisi Kedua) di Sheraton Imperial di sini, hari ini.

“Saya tidak pernah berkongsi perkara ini sebelum ini. Ramai di antara anda, mungkin tertanya-tanya keberadaan Perdana Menteri Kelima itu. Demensia adalah penyakit yang getir kerana umpama mempunyai kehadiran fizikal tetapi fikirannya tiada.

“Saya lihat keadaan bapa mentua saya semakin merosot selepas bertahun-tahun, anda tidak dapat lagi melihat beliau di khalayak ramai kerana penyakitnya itu dan beliau tidak dapat berfungsi dengan normal.

“Beliau tidak dapat mengingati nama saya, nama isteri saya. Saya tahu beliau masih masih mengenali saya apabila melihatnya mengerdipkan mata apabila saya melawatnya.

“Sekarang bagi kami, pengurusan penjagaannya adalah mencabar. Saya lihat bagaimana kesukaran ibu mentua saya,” kata Khairy sambil menambah bapa mentuanya kini berkerusi roda.

“Lebih banyak hari yang sukar berbanding hari yang lancar,” katanya.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619