AGENDA

Kanak-kanak perempuan lemas di tali air ketika sauk ikan

7 Sep 2022, 3:29 PM
Kanak-kanak perempuan lemas di tali air ketika sauk ikan

BESUT, 7 SEPT: Seorang kanak-kanak perempuan kelas Program Pendidikan Khas Intergrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Tempinis ditemukan lemas di tali air di Kampung Tasik Nibong, Bukit Jeruk di Jabi dekat sini, petang tadi.

Mangsa Saidatul Insyirah Abdul Muin, 10, yang mempunyai masalah pembelajaran dikatakan pergi ke tempat kejadian bersama dua yang lain termasuk adiknya, Saidatul Fatimah untuk menyauk anak ikan.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata kejadian yang berlaku sekitar 1.30 tengah hari itu diketahui bapa mangsa Abdul Muin Muhammad, 39, apabila adik mangsa pulang memberitahu bahawa kakaknya dipercayai terjatuh ke dalam tali air tersebut.

"Bapa mangsa segera ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 500 meter dari Sekolah Pondok Raudhatul Muhammad, tempat mereka tinggal.

“Terdapat pelajar sekolah pondok tersebut terjun ke dalam tali air itu untuk membantu mencari mangsa sebelum menemukan mangsa tidak lama kemudian,” katanya kepada pemberita.

Abdul Rozak berkata mangsa dibawa naik ke darat dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Jabi oleh bapanya untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun katanya pemeriksaan pegawai perubatan di klinik kesihatan tersebut mendapati mangsa telah meninggal dunia.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Daerah Besut kira-kira 6.40 petang tadi untuk bedah siasat,” katanya sambil memaklumkan siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619