AGENDA

Bot berlanggar: Pemancing hilang ditemukan mati, tersangkut di pukat

5 Sep 2022, 2:42 PM
Bot berlanggar: Pemancing hilang ditemukan mati, tersangkut di pukat

JOHOR BAHRU, 5 SEPT: Pemancing yang dilaporkan hilang selepas pelanggaran dua bot di Kampung Sungai Sembayong, Tanjung Sedili, Kota Tinggi, petang semalam, ditemukan mati tersangkut di pukat bot nelayan, petang tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Rafiee A Karim, berkata mayat lelaki berusia 33 tahun itu yang hanya dikenali sebagai Fauzi, ditemukan pada jam 3.20 petang, kira-kira 300 meter (m) dari lokasi kejadian.

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi tamat sepenuhnya pada 5.15 petang," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Terdahulu, Rafiee berkata operasi mencari dan menyelamat dibahagikan kepada dua pasukan dengan menggunakan dua unit bot aluminium.

"Operasi pencarian dilakukan dalam radius 400m dari kawasan mangsa dipercayai jatuh (daripada bot) dengan menggunakan teknik pencarian di permukaan air dan selaman.

"Operasi pencarian turut dibantu oleh orang kampung dan beberapa buah bot nelayan tempatan," kata beliau.

Pada kejadian semalam, tiga pemancing dilaporkan terjatuh selepas pelanggaran dua bot tersebut.

Bagaimanapun, dua pemancing dikenali sebagai Mohd Mumtaz Hamzah, 38, dan Kamisan, 31, berjaya diselamatkan orang awam manakala Fauzi dilaporkan hilang pada kejadian kira-kira 5 petang itu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619