AGENDA

Mansuh pelitup muka di tempat tertutup, keputusan diumum tempoh terdekat

2 Sep 2022, 1:20 PM
Mansuh pelitup muka di tempat tertutup, keputusan diumum tempoh terdekat

KUALA LUMPUR, 2 SEPT: Isu berhubung pemansuhan pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup telah pun dibincangkan di peringkat dalaman di Kementerian Kesihatan (KKM) dan keputusan mengenai perkara itu akan diumumkan dalam masa yang terdekat, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

“Kita sudah bincang mengenainya di peringkat dalaman, pada dasarnya kita sudah tahu keputusannya, beri saya beberapa hari lagi,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran Majlis Pelancaran Hab Teknologi Kesihatan Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional di MRANTI Park, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai saranan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) pada Rabu, yang mengesyor kerajaan untuk mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) penggunaan pelitup muka di kawasan tertutup, susulan amalan yang semakin meningkat di negara-negara lain termasuk Singapura.

Presiden MMA Dr Koh Kar Chai dilaporkan berkata ini kerana jumlah kes COVID-19 negara telah mencapai tahap mendatar.

Sementara itu Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) masih sedang membuat penilaian mengenai tindakan United State Food and Drug Administration (US FDA) yang telah memberi kebenaran untuk pemberian suntikan penggalak (vaksin) yang menyasarkan varian Omicron BA.5.

“Kita juga ada kumpulan kerja bagi vaksin COVID-19 yang akan menilai data-data yang berkaitan di Amerika berhubung perkara ini, dan mereka akan membuat pelbagai saranan nanti. Kita tidak mahu tergesa-gesa dalam perkara ini dan membuat keputusan yang silap,” katanya.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619