AGENDA

Panik dituduh gubah wang haram, penjawat awam rugi RM429,000 ditipu Macau Scam

26 Ogos 2022, 3:48 AM
Panik dituduh gubah wang haram, penjawat awam rugi RM429,000 ditipu Macau Scam

KANGAR, 26 OGOS: Gara-gara panik dan takut selepas dituduh terlibat dalam kes pengubahan wang haram, seorang penjawat awam mengalami kerugian sebanyak RM429,000 akibat diperdaya oleh sindiket Macau Scam.

Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata wanita berusia 50 tahun itu menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dari pejabat Pos Malaysia Berhad.

“Mangsa diberitahu bahawa terdapat satu bungkusan mengandungi barang terlarang iaitu sekeping kad pengenalan dan lima keping kad juruwang automatik (ATM) yang didaftarkan atas nama mangsa untuk dihantar ke Sabah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Ahmad Mohsin berkata mangsa yang menafikan hal berkenaan bagaimanapun diarahkan suspek untuk membuat laporan polis menerusi panggilan telefon yang disambung ke Balai Polis Sabah.

“Selepas panggilan tersebut disambungkan, mangsa terkejut apabila diberitahu bahawa nama dan nombor kad pengenalannya terlibat dalam kes jenayah pengubahan wang haram dan mangsa diminta untuk membuat beberapa kali transaksi bayaran bagi menyelesaikan kes itu,” katanya.

Beliau berkata wanita itu yang takut kerana diugut akan ditangkap dan didakwa di mahkamah atas kesalahan kononnya dilakukan mangsa, telah percaya dengan dakwaan terbabit dan membuat 10 kali transaksi bayaran berjumlah RM429,000 ke beberapa akaun yang diberikan.

Ahmad Mohsin berkata polis menerima laporan daripada mangsa pada Rabu lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar lebih berhat-hati dan jangan mudah panik serta percaya apabila menerima panggilan sedemikian. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619