AGENDA

Dibawa dari penjara, Najib ke mahkamah untuk bicara kes 1MDB

25 Ogos 2022, 2:36 AM
Dibawa dari penjara, Najib ke mahkamah untuk bicara kes 1MDB

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini hadir di Mahkamah Tinggi di sini pada perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya.

Najib, 69, tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) pada 8.26 pagi dari Penjara Kajang diiringi beberapa kenderaan polis.

Kelihatan petugas media dari pelbagai agensi mula berkumpul sejak 7.30 pagi bagi merakam gambar dan video ketibaan bekas perdana menteri itu serta membuat liputan kes tersebut.

Najib dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Pada 23 Ogos, Najib dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun jika gagal bayar denda ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan akhir Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

Pada 8 Dis 2021, Najib gagal mengetepikan keputusan itu selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619