AGENDA

Pentaksiran bilik darjah kembang potensi murid, tidak terikat peperiksaan

23 Ogos 2022, 3:39 PM
Pentaksiran bilik darjah kembang potensi murid, tidak terikat peperiksaan

KUALA LUMPUR, 23 OGOS: Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) di dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dilihat menjadi komponen penting dalam membina dan mengembangkan potensi murid, khusus dengan adanya langkah intervensi.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata pelaporan baharu PBD bagi setiap mata pelajaran di sekolah mempunyai tiga aspek meliputi penguasaan mata pelajaran, ujian akhir tahun dan komponen usaha murid dalam memberi pelaporan menyeluruh terhadap prestasi murid.

“Kerana terdapat situasi ibu bapa lihat anaknya rajin tetapi apabila sampai masa keputusannya tidak tinggi. Melalui tiga pendekatan ini, jika anak kita dapat tahap penguasaan lima (markah penilaian), ujian akhir tahun (dua) dan usaha (enam) bererti anak murid itu adalah seorang pelajar yang rajin.

“Namun, terdapat beberapa topik pada mata pelajaran itu yang dia sangkut. Maka, dengan adanya pelaporan PBD ini, di situ kita dapat bantu murid itu,” katanya pada program Ruang Bicara terbitan BernamaTV yang disiarkan hari ini.

Radzi berkata PBD jika dibandingkan dengan sistem pembelajaran sebelum ini, dilihat mampu mengembangkan potensi murid secara total berikutan prestasi mereka tidak diukur dan terhad hanya kepada peperiksaan semata-mata.

“Anak-anak kita ini mempunyai kekuatan masing masing dan kita perlu pastikan supaya kita tidak ‘bunuh’ potensi anak-anak ini di peringkat yang terlalu awal.

“Sebelum ini, kalau lihat keputusan UPSR, maka itulah (keputusannya), tiada langkah intervensi. Di situ berlakunya perkara seperti murid yang tidak boleh membaca meskipun sudah di peringkat sekolah menengah, kerana tiada langkah intervensi dilakukan bagi menangani perkara ini,” katanya.

Pada April tahun lepas, Radzi telah mengumumkan pemansuhan sepenuhnya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai 2021 sekali gus memberi tumpuan terhadap pemerkasaan PBS manakala kemasukan ke sekolah berasrama penuh dan sebagainya mulai 2022 adalah berdasarkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619