AGENDA

LRT, MRT dan monorel mula operasi 4.30 pagi pada Hari Kebangsaan

23 Ogos 2022, 4:42 AM
LRT, MRT dan monorel mula operasi 4.30 pagi pada Hari Kebangsaan

KUALA LUMPUR, 23 OGOS: Semua operasi rel merangkumi tren Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel akan bermula pukul 4.30 pagi pada 31 Ogos ini, bagi memberi peluang kepada warga kota menyaksikan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka.

Selain itu, Rapid KL dalam satu kenyataan hari ini turut memaklumkan kekerapan tren juga akan ditambah mengikut keperluan semasa operasi.

“Operasi tren yang diawalkan melibatkan laluan LRT Ampang/Sri Petaling, LRT Kelana Jaya, Monorel KL, MRT Kajang dan MRT Putrajaya. Warga kota yang ingin ke Dataran Merdeka pada hari tersebut, digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan awam,” menurut kenyataan itu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya sebelum ini menasihatkan orang ramai yang ingin hadir ke majlis sambutan dan perarakan itu, agar merancang perjalanan serta menggunakan pengangkutan awam berikutan penutupan beberapa jalan utama.

Beliau berkata lapan jalan utama di sekitar Dataran Merdeka akan ditutup dan dilencongkan bagi tujuan keselamatan dan kelancaran sambutan berkenaan.

Hari Kebangsaan 2022 kembali diadakan secara besar-besaran di Dataran Merdeka selepas dua tahun sambutannya dalam skala yang kecil berikutan wabak Covid-19 yang melanda negara.

Tema bagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 adalah 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama'.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619