AGENDA

Salah guna jawatan, pensyarah bersama adik dipenjara 3 tahun, denda RM807,475

19 Ogos 2022, 7:55 AM
Salah guna jawatan, pensyarah bersama adik dipenjara 3 tahun, denda RM807,475

BUTTERWORTH, 19 OGOS: Seorang pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) dihukum penjara tiga tahun dan didenda RM807,475 oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana menyalah guna jawatan dengan meluluskan syarikat milik adiknya bagi membekalkan pelbagai barangan di universiti itu.

Hakim Zulhazmi Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Prof Badaruddin Mohamed, 57, manakala adiknya Mustafa Kamal, 50, juga dijatuhi hukuman sama atas kesalahan bersubahat dengan abangnya.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan terhadap sembilan pertuduhan dihadapi kedua-dua adik beradik itu.

Zulhazmi turut memerintah kedua-dua tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman itu sementara rayuan difailkan dengan menaikkan wang jaminan kepada RM32,500 dengan seorang penjamin untuk setiap tertuduh.

Zulhazmi turut menetapkan syarat tambahan iaitu dokumen perjalanan kedua-dua tertuduh diserah kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap sebulan sehingga rayuan selesai.

Bagi tujuh pertuduhan, Badaruddin didakwa menggunakan jawatannya sebagai pengarah Pejabat Komunikasi Strategik USM untuk meluluskan Syarikat MK Urusniaga (M) Sdn Bhd milik Mustafa Kamal sebagai pembekal pelbagai barangan dan cenderahati yang kesemuanya bernilai RM153,793 kepada Pejabat Komunikasi Strategik USM antara 22 Sept 2011 dan 23 Nov 2012.

Dua lagi pertuduhan ialah dia dituduh menggunakan jawatannya sebagai Ketua Sustainable Tourism Research Cluster USM untuk meluluskan syarikat milik adiknya itu sebagai pembekal bagi 30 unit 'souvenirs glass' bernilai RM3,450 dan biometrik pejabat bernilai RM2,920 kepada Pejabat Sustainable Tourism Research Cluster USM antara 5 Sept 2011 dan 14 Mei 2012.

Bagi kesemua pertuduhan itu, Badaruddin didakwa mengikut Subseksyen 23(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama manakala Mustafa Kamal didakwa atas sembilan pertuduhan bersubahat dengan abangnya mengikut Seksyen 28 (1) (c) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman serupa.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM Mohamad Azlan Basri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi mencerminkan keseriusan kesalahan.

Peguam Shamsul Sulaiman yang mewakili adik-beradik itu merayu hukuman denda yang tidak terlampau tinggi kerana anak guamnya masing-masing menanggung keluarga.

“Badaruddin sekarang telah digantung kerja dan hanya menerima separuh gaji bulanan,” katanya

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619