AGENDA

KBS bina infrastruktur, komited jadikan Malaysia tumpuan peminat e-sukan

17 Ogos 2022, 6:32 AM
KBS bina infrastruktur, komited jadikan Malaysia tumpuan peminat e-sukan

PETALING JAYA, 17 OGOS: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus membangunkan infrastruktur e-sukan yang diperlukan bagi menjadikan Malaysia sebagai negara tumpuan aktiviti sukan berasaskan permainan video itu.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker berkata perkara itu sememangnya ada dalam Pelan Strategik Pembangunan e-Sukan 2020-2025 selain daripada penganjuran aktiviti dan pertandingan.

Katanya, e-sukan adalah industri yang sedang berkembang dan mampu memberikan impak ekonomi besar dengan jumlah penonton mencecah 435 juta di seluruh dunia.

“E-Sukan juga adalah perniagaan berjuta dolar dengan industri e-sukan saja pada 2022 dijangka menjana AS$1.6 bilion,” katanya ketika ditemui selepas sidang media kejohanan ESL One 2022 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ti berkata keupayaan Malaysia menganjurkan kejohanan ESL One yang mengumpulkan 12 pasukan terbaik seluruh dunia memberi petanda positif tentang potensi Malaysia untuk terus dipilih menganjurkan kejohanan e-sukan bertaraf antarabangsa pada masa depan.

“Kita boleh lihat kepada kejohanan ESL One kali ini, jualan tiket habis sepenuhnya dengan lebih 4,000 sudah terjual. Malah, jumlah tontonan dijangka sekitar 15 juta memandangkan pasukan bertanding mempunyai saiz peminat yang besar,” katanya.

Sebanyak 12 pasukan bertanding pada kejohanan ESL One 2022 yang akan berlangsung di Resorts World di Genting Highlands dari 23 hingga 28 Ogos ini antaranya Team Secret, OG, Fnatic, Alliance, Team Liquid, Nigma Galaxy, Entity, Team Aster, Boom Esports, Talon Esports, TSM FTX dan Thunder Awaken.

Mereka akan bersaing dalam permainan video Dota 2 untuk merebut hadiah keseluruhan berjumlah AS$400,000 (RM1.78 juta).

Sebagai rekod, kejohanan ESL One 2022 adalah edisi ketiga dianjurkan di Genting Highlands selepas mendapat sambutan hangat pada 2017 dan 2018.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619