AGENDA

Tipu tawaran kerja ejen jualan dalam talian, enam individu ditahan

16 Ogos 2022, 10:43 AM
Tipu tawaran kerja ejen jualan dalam talian, enam individu ditahan

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Polis menahan enam individu termasuk dua warga Indonesia kerana disyaki terlibat kes penipuan penawaran kerja secara dalam talian dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata kesemua yang berusia 20 hingga 31 tahun itu terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang lelaki dan wanita warga Indonesia.

Beliau berkata sindiket yang menyasarkan warga Indonesia itu memaklumkan mangsa bahawa mangsa akan ditawarkan kerja sebagai ejen jualan dalam sebuah aplikasi jualan dalam talian dengan syarat mangsa membuat pembelian barang menerusi pautan yang diberikan.

“Selepas beli barang, mangsa kena kongsikan pautan dan memberi ‘like’ atau tanda suka kepada produk yang dibeli dan mangsa perlu buat 10 kali pembelian barang untuk dapatkan komisen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Amihizam, selepas mangsa mematuhi semua arahan diberikan, sindiket berkenaan akan memaklumkan mangsa bahawa mereka sudah menjadi ejen aplikasi jualan dalam talian itu namun tidak diberi sebarang surat tawaran kerja.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis merampas enam komputer riba, 12 telefon bimbit pelbagai jenama dan 10 keping kad sim telefon prabayar yang digunakan dalam kegiatan tersebut.

Menurutnya sindiket berkenaan disyaki beroperasi sejak bulan lepas dan kesemua suspek dibayar antara RM3,000 hingga RM3,500 sebulan tidak termasuk empat hingga lima peratus daripada keseluruhan kutipan ‘hasil jualan’ yang dilakukan dalam tempoh sebulan.

Amihizam berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dengan sebarang tawaran kerja secara dalam talian yang menawarkan peluang pekerjaan tidak jelas tetapi menjanjikan pulangan wang yang lumayan.

-- BERNAMA

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619