AGENSI

Hijrah: Skim biaya niaga patuh syariah, bebas unsur riba

11 Ogos 2022, 5:01 AM
Hijrah: Skim biaya niaga patuh syariah, bebas unsur riba
Hijrah: Skim biaya niaga patuh syariah, bebas unsur riba

SHAH ALAM, 11 OGOS: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menawarkan pinjaman pembiayaan perniagaan patuh syariah kepada usahawan sejak 1 Januari.

Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan skim yang berlandaskan konsep Tawarruq memberi manfaat besar kepada peminjam antaranya tiada unsur riba, kualiti tidak diragui selain caj pinjaman rendah.

"Tawarruq merujuk kepada dua urus niaga yang berasingan. Urus niaga pertama melibatkan pembelian dimana Hijrah menjual komoditi kepada usahawan dengan harga yang telah dipersetujui pada peringkat awal iaitu jumlah pembiayaan ditambah keuntungan yang dibayar secara ansuran.

"Urus niaga kedua berlaku apabila usahawan (diwakilkan oleh Hijrah) menjual komoditi yang telah dibeli kepada pihak ketiga secara tunai," katanya.

[caption id="attachment_500081" align="alignright" width="396"] Ketua Pegawai Operasi Hijrah (Pemangku Pengarah Eksekutif) Normaiza Yahya[/caption]

Sebelum ini, ketua pegawai operasinya berkata inisiatif berkenaan menjadikan Selangor sebagai negeri pertama membuat tawaran terbabit.

Normaiza Yahya turut yakin tawaran berkenaan menarik minat ramai usahawan termasuk bukan Islam.

“Bank yang mengamalkan konsep ini seperti Bank Islam contohnya turut mendapat perhatian kaum lain. Bukan hanya orang Islam sahaja.

“Konsep ini diteliti oleh Universiti Selangor melibatkan segenap aspek. Kita mahu pelaksanaannya memberi faedah,” katanya.

Hijrah menawarkan tujuh skim meliputi i-Bisnes, Zero to Hero, Niaga Darul Ehsan (NaDI), Go Digital, i-Lestari, i-Agro dan i-Bermusim yang boleh dimohon secara dalam talian menerusi mikrokredit.selangor.gov.my

Sejak Januari hingga Julai, seramai 4,500 usahawan menerima pembiayaan RM70 juta daripada Hijrah bagi memula dan mengembangkan perniagaan.

Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 pada 26 November lalu mengumumkan beberapa penambahbaikan dalam skim pembiayaan Hijrah pada tahun ini melibatkan dana berjumlah RM120 juta.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata antara penambahbaikan itu adalah mengurangkan caj pengurusan peminjam dari lapan peratus kepada empat peratus untuk pinjaman RM30,000 ke bawah.

 

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619