AGENDA

Kajian: Kadar pengangguran dijangka turun, kekurangan buruh asing jejas ekonomi

10 Ogos 2022, 5:51 AM
Kajian: Kadar pengangguran dijangka turun, kekurangan buruh asing jejas ekonomi

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Kenanga Investment Bank Bhd mengekalkan unjurannya ke atas kadar pengangguran yang dijangka berkurangan pada bulan-bulan akan datang, disokong pemulihan kukuh pascapandemik berikutan negara dalam fasa peralihan ke endemik.

Dalam nota penyelidikan hari ini, ia berkata ramalan kadar pengangguran itu akan diperkukuhkan lagi dengan dasar kerajaan yang berterusan seperti program subsidi upah dan penambahbaikan selanjutnya dalam sektor perkhidmatan, terutamanya berkaitan aktiviti pelancongan.

“Berikutan situasi pasaran buruh mencatatkan pemulihan kukuh dengan kadar pengangguran bertambah baik kepada 3.9 peratus pada suku kedua 2022, kami menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua akan berkembang kepada 7.7 peratus dalam keadaan penggunaan swasta yang dijangka stabil dan pengembangan dalam sektor perkhidmatan,” katanya.

Firma penyelidikan itu turut mengekalkan ramalan pertumbuhan KDNK 2022 pada 5.0-5.5 peratus.

Kadar pengangguran di Malaysia mencatatkan aliran penurunan pada 3.8 peratus untuk tempoh Jun 2022, paras terendah sejak negara dilanda pandemik Covid-19, dengan jumlah penganggur merosot kepada 630,600 orang pada Jun 2022 berbanding 637,700 orang pada bulan sebelumnya.

Senada dengan Kenanga, Hong Leong Investment Bank Bhd menjangkakan pasaran buruh akan meneruskan momentum pemulihannya pada bulan-bulan akan datang berikutan ekonomi terus mencatatkan pemulihan daripada pandemik, terutamanya dalam sektor perkhidmatan.

“Bagaimanapun, kekurangan pekerja asing terus memberi kesan kepada banyak sektor ekonomi,” katanya.

Sehubungan itu, firma penyelidikan itu mengekalkan ramalan KDNK 2022 pada 5.9 peratus tahun ke tahun dan menjangkakan Bank Negara Malaysia akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi pada September, menjadikan OPR kepada 2.5 peratus menjelang akhir 2022. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619