AGENDA

Sultan: Sediakan pelan jangka panjang jamin bekalan makanan di Selangor

10 Ogos 2022, 4:57 AM
Sultan: Sediakan pelan jangka panjang jamin bekalan makanan di Selangor

SHAH ALAM, 10 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor meminta Kerajaan Negeri menyediakan pelan jangka panjang lebih menyeluruh mencakupi aspek jaminan bekalan makanan untuk rakyat.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah keutamaan diberikan kepada keseimbangan pengeluaran produk makanan industri dan pengeluaran hasil tani oleh perusahaan kecil dan sederhana tempatan.

Baginda juga tidak mahu berlaku sebarang gangguan terhadap sumber bekalan makanan untuk rakyat sedangkan Selangor antara pengeluar signifikan pelbagai produk pertanian dan hasil ternakan.

"Paling penting titah Baginda, produk makanan yang dihasilkan haruslah berkualiti tinggi dan dipasarkan pada harga berpatutan demi kelangsungan hidup rakyat.

"Untuk itu, Baginda menyeru Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia dan Universiti Putra Malaysia melaksanakan kajian ke arah penghasilan produk hasil tani dan ternakan yang lebih bermutu dan memastikan bekalannya sentiasa mencukupi," menurut Selangor Royal Office di Facebook, hari ini.

Saranan Sultan Selangor itu selepas Baginda bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat ke Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia, semalam.

Baginda meluangkan masa lebih empat jam di pameran berkenaan termasuk berkunjung ke Dewan Pameran Utama, Pavilion Negeri Selangor, Laman Agrofood Ternakan, Sayuran, Miracle Garden dan Castle of Fruits.

Baginda turut tertarik dengan pelbagai hasil pertanian menggunakan teknologi terkini dan turut diusahakan secara kecil-kecilan oleh rakyat, namun memiliki potensi pemasaran yang tinggi.

Pada masa sama, Baginda menggesa agar setiap rakyat menggiatkan aktiviti bercucuk tanam dan mengusahakan ternakan supaya dapat menikmati hasilnya untuk manfaat sendiri dan keluarga.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619