AGENDA

KPDNHEP kaji cadangan GLC jadi pembungkus minyak masak bersubsidi

9 Ogos 2022, 3:21 PM
KPDNHEP kaji cadangan GLC jadi pembungkus minyak masak bersubsidi

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengkaji cadangan membenarkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membungkus minyak masak polibeg bersubsidi bagi mengekang ketirisan produk itu.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata ia adalah antara cadangan yang akan dipertimbangkan.

“Bagaimanapun kita akan teliti dahulu bagaimana GLC ini boleh membantu lebih 300 syarikat pembungkusan yang kita lesenkan, kita lihat bagaimana syarikat ini boleh membantu pengagihan supaya seluruh negara akan mendapat minyak ini, tidak ada negeri yang kurang dan tidak ada yang terlebih,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat reruai KPDNHEP sempena Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, hari ini.

Mengulas mengenai laporan ada peniaga di negeri tertentu yang menjual minyak masak dalam botol melebihi harga maksimum, Alexander berkata, peniaga-peniaga terbabit diminta supaya mematuhi harga ditetapkan yang bermula semalam.

“Tetapi jika ia berterusan kita akan ambil tindakan untuk mengelak ia memberi kesan kepada golongan pengguna,” katanya.

Sementara itu, Alexander berkata minyak masak dalam paket yang terapung di perairan Indonesia seperti yang tular di media sosial baru-baru ini bukan milik Malaysia.

Beliau berkata dari maklumat yang diterima minyak masak tersebut adalah milik Indonesia.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619