EXCO

Sambungan jalan Persiaran Eco Grandeur 2 ke Persiaran Shorea siap November

8 Ogos 2022, 1:44 AM
Sambungan jalan Persiaran Eco Grandeur 2 ke Persiaran Shorea siap November

KUALA SELANGOR, 8 OGOS: Projek sambungan jalan dari Persiaran Eco Grandeur 2 ke Persiaran Shorea dijangka siap pertengahan November depan, kata EXCO kerajaan tempatan.

Menurut Ng Sze Han, projek itu giat dilaksana secara perkongsian antara EcoWorld dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) membabitkan kos sekitar RM7.5 juta.

"Menjadi tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyediakan kemudahan awam kepada komuniti dan penduduk setempat.

"Jadi pembinaan jalan ini sedikit sebanyak dapat menyurai kesesakan trafik yang saban hari menghantui penduduk sekitar," katanya dalam sembah ucapan sempena majlis perasmian penutup Karnival Kuala Selangor 2022 malam tadi.

Karnival selama tiga hari disempurnakan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin di Eco Grandeur, Bandar Puncak Alam di sini.

Dalam pada itu, Sze Han memaklumkan PBT terbabit akan menjalankan kerja sambungan jalan dari pembangunan Eco Grandeur ke Desa Coalfields dengan kos dianggar RM10 juta.

Beliau turut berkongsi perkembangan kerja menaik taraf lampu isyarat pintar membabitkan enam persimpangan masing-masing tiga di Saujana Utama dan Puncak Alam yang dijangka siap akhir tahun ini.

Pada masa sama, katanya, MPKS giat menaik taraf Lorong Belakang Jalan Raja Jalil, Pekan Lama Kuala Selangor kepada laluan turapan bersambung (interlocking pavement) dengan jangkaan siap pada 22 Ogos ini.

"Lorong ini akan dikenali sebagai Laluan Seni Pekan Lama Kuala Selangor dengan menampilkan pelbagai lukisan mural di sepanjang laluan berkenaan," katanya.

Sze Han menambah terdapat beberapa lagi cadangan pembangunan semula taman awam di daerah terbabit dalam tempoh terdekat dan kini melalui proses lantikan perunding bagi penggantian Rancangan Tempatan MPKS 2035.

"Saya harap rancangan tempatan baharu lebih komprehensif selain mengambil kira kehendak penduduk dan keperluan semasa. Justeru, penglibatan pemegang taruh serta masyarakat amat diperlukan bagi memastikan keterangkuman daerah dicapai," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619