AGENDA

Sukan Komanwel: Ng Tze Yong mara ke akhir badminton perseorangan lelaki

7 Ogos 2022, 3:13 PM
Sukan Komanwel: Ng Tze Yong mara ke akhir badminton perseorangan lelaki

Oleh Amiril Muttaqien Meketar

BIRMINGHAM, 7 OGOS: Ng Tze Yong meneruskan prestasi cemerlangnya apabila beliau mara ke final acara perseorangan lelaki di Sukan Komanwel Birmingham, di sini, hari ini.

Lawannya dalam pusingan separuh akhir di National Exhibition Centre itu, Srikanth Kidambi dari India, yang tewas kepada Tze Yong dalam acara berpasukan campuran Selasa lepas, sekali lagi dikejutkan dengan aksi bertenaga pemain nombor 42 dunia itu.

Tze Yong bermula goyah apabila ditundukkan Kidambi 13-21 pada set pertama, sebelum bangkit untuk menyamakan kedudukan 21-19 pada perlawanan penuh debaran di set kedua, dibantu permainan net yang cantik.

Atlet berusia 22 tahun itu menguasai permainan pada set ketiga dengan kemenangan 21-10, untuk bertemu seorang lagi perseorangan India, iaitu pemain nombor satu negara itu Laksya Sen pada perlawanan akhir.

Sen melangkah ke final selepas menempuh perlawanan sukar menentang Teh Jia Heng dari Singapura 21-10, 18-21, 21-16.

Mengulas perlawanan itu, Tze Yong mengakui beliau ‘tewas’ kepada mentalnya sendiri pada set pertama yang menyaksikan beliau mudah ditundukkan Kidambi, sebelum berjaya menenangkan diri untuk meraih kemenangan kedua ke atas pemain senior India itu.

“Saya agak terkejut menang ke atas Kidambi, namun saya sedar tekanan pada dia kerana kalah acara berpasukan hari itu dan saya pula turun sebagai bukan pilihan,” katanya kepada Bernama selepas perlawanan.

Ditanya harapan beliau untuk final, Tze Yong berkata beliau tidak mempunyai sebarang tekanan bertemu Sen dan menyifatkan pencapaian emas sebagai bonus tambahan buat dirinya, jika beliau mencatatkan kemenangan esok.

Keputusan hari ini bermakna Tze Yong mempunyai peluang untuk mempertahankan emas perseorangan lelaki yang dimenangi legenda badminton Malaysia Datuk Lee Chong Wei pada edisi di Gold Coast 2018.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619