AGENDA

Sindiket penipuan tawaran kerja di Cyberjaya berjaya ditumpas

4 Ogos 2022, 7:09 AM
Sindiket penipuan tawaran kerja di Cyberjaya berjaya ditumpas

SEPANG, 4 OGOS: Polis menumpaskan sindiket penipuan tawaran kerja membabitkan kerugian RM843,996 yang beroperasi di premis kediaman di Cyberjaya dalam satu serbuan pada 2 Ogos (Selasa).

Dalam serbuan di Cyberjaya itu, lima individu berumur 17 hingga 32 tahun termasuk seorang warga asing ditahan selain lima komputer riba dan lima telefon bimbit turut dirampas.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof dalam sidang media di sini hari ini berkata sindiket itu dipercayai telah beroperasi beberapa bulan lepas dan mangsa sindiket dikatakan perlu menjadi jurujual produk dengan tawaran gaji lumayan dan komisen sampingan.

Menurutnya, modus operandi sindiket adalah dengan membuat iklan tawaran kerja di laman Facebook dan Instagram dan apabila terdapat mangsa memohon kerja, sindiket akan memberi tugasan kepada mangsa untuk menjual produk daripada syarikat dalam talian yang dicipta oleh sindiket.

Bagi setiap produk yang berjaya dijual, mangsa kononnya akan menerima 10 peratus komisen dan ia diterima sehingga tiga kali pembayaran.

Wan Kamarul Azran berkata kegiatan sindiket itu terbongkar apabila mangsa yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar universiti mendakwa tidak menerima komisen seperti yang dijanjikan manakala pelanggan yang membeli turut mendakwa tidak menerima sebarang produk.

Beliau berkata sindiket itu menggunakan 22 akaun keldai bagi transaksi penjualan produk tidak wujud serta telah melibatkan 31 mangsa yang terdiri daripada 'rekrut dan pelanggan' hingga menyebabkan kerugian berjumlah RM843,996.

"Kerugian tertinggi yang direkodkan adalah melibatkan seorang pelajar universiti dari Cheras iaitu sebanyak RM49,000 serta 22 akaun keldai berkenaan juga dalam proses dibekukan dan pemilik akaun itu juga akan dipanggil untuk memberi keterangan," katanya.

Wan Kamarul Azran berkata kesemua suspek kini direman selama tiga hari bermula semalam (3 Ogos) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619