AGENDA

Polis kaji semula pindah anggota bermasalah ke Sabah, Sarawak

3 Ogos 2022, 2:23 PM
Polis kaji semula pindah anggota bermasalah ke Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Keputusan berhubung pertukaran sembilan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipercayai terlibat dalam kes peras ugut di Gombak baru-baru ini, ke Sabah dan Sarawak akan dikaji semula.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya telah membuat semakan dengan pejabat Pesuruhjaya Polis Sarawak dan dimaklumkan belum ada anggota yang dimaksudkan melaporkan diri di Kontinjen Polis Sarawak setakat ini.

Menurut kenyataan itu Kerajaan Sarawak menyambut baik usaha PDRM bagi menambah bilangan anggota untuk memantapkan lagi kawalan keselamatan demi kesejahteraan rakyat Sarawak, namun berharap PDRM menempatkan pegawai dan anggota yang berintegriti tinggi serta bebas dari sebarang siasatan jenayah.

“PDRM menyambut baik saranan kerajaan Sarawak dan memaklumkan bahawa keputusan pertukaran itu akan dikaji semula oleh pucuk pimpinan PDRM,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata pihaknya akan mendapatkan penjelasan daripada PDRM berhubung perkara itu.

Beliau juga meminta supaya pihak polis memaklumkan dan berbincang dengan beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri sebelum tindakan seumpama itu dilaksanakan.

“Kerajaan Negeri Sabah memandang serius tindakan polis memindahkan sembilan anggotanya yang dipercayai terlibat kes peras ugut ke Sabah dan Sarawak, tanpa mendapat pandangan dari Kerajaan Negeri terlebih dahulu.

“Saya memandang serius perkara ini walaupun tindakan itu mungkin sebagai satu prosedur atau tindakan disiplin yang diambil jabatan berkenaan terhadap anggota mereka,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi sebelum ini dilaporkan berkata sembilan anggota polis yang disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, Selangor mengenai pemilikan dadah baru-baru ini telah ditempatkan untuk bertugas di Sabah dan Sarawak.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619