AGENDA

MB: Projek tukar sisa kepada tenaga diterus demi jaga alam sekitar

3 Ogos 2022, 8:20 AM
MB: Projek tukar sisa kepada tenaga diterus demi jaga alam sekitar

SHAH ALAM, 3 OGOS: Kerajaan Negeri kekal dengan pendirian untuk meneruskan projek sisa kepada tenaga (WTE) berbanding kaedah pelupusan sampah bagi mengurangkan kesan buruk terhadap alam sekitar.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata meskipun kos tinggi, namun projek pembangunan Worldwide Holdings Berhad diyakini lebih efektif selaras amalan terbaik alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Beliau turut menjelaskan projek yang sebahagiannya sudah berjalan di Jeram, Kuala Selangor dan Tanjung Dua Belas, Kuala Langat tidak dibuat secara tergesa-gesa sebaliknya melalui proses kajian sejak 15 tahun lepas.

"WTE adalah masa depan dan Kerajaan Negeri sedia membiayai sebahagian kos untuk mengurangkan 'tipping fee'. Secara keseluruhan, projek ini jauh lebih baik daripada meneruskan kaedah tapak pelupusan sampah (landfill).

"(Jika kaedah tapak pelupusan) diteruskan, kita akan kehilangan beribu-ribu ekar untuk kononnya kos lebih rendah, tetapi kesan alam sekitar jauh lebih parah apabila sisa pepejal tidak dilupus dengan cara betul," katanya ketika sesi penggulungan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dalam sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Sebelum itu, Ahli Dewan Negeri Sungai Pelek Ronnie Liu Tian Khiew mempersoal keberkesanan projek terbabit dan menyifatkan sebagai ketinggalan zaman selain meminta ditukar kepada kaedah zero-to-energy.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata kaedah dicadangkan wakil rakyat terbabit turut diteliti namun pelaksanaan perlu dibuat secara berperingkat dan mengambil masa yang lama.

"Kita urus 7,000 tan metrik sampah sehari, jadi bagaimana mahu urus (sisa) dengan lebih efisien? Sebab itu WTE adalah solusi terbaik ketika ini. Lagipun dasar disebutkan (zero-to-energy) itu untuk kilang, rumah bagaimana?" katanya.

Amirudin ketika membentangkan RS-1 pada 27 Julai lalu memaklumkan Selangor melaksana lima projek bagi mengurangkan sisa ke tapak pelupusan.

Tiga daripadanya dianggap sebagai pengubah permainan (game changer) iaitu pembangunan fasiliti pemulihan bahan (MRF), pelan tindakan pengurusan sisa dan pusat pengurusan sisa pepejal bersepadu (ISWMC) serta loji rawatan WTE.

Selain itu, campuran tenaga boleh diperbaharui dipertingkat serta mengurangkan penggunaan tapak pelupusan sanitari dan meningkatkan kadar kitar semula.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619