AGENDA

Mosti: Tiada radiasi, unsur radioaktif pada serpihan roket China

2 Ogos 2022, 6:00 AM
Mosti: Tiada radiasi, unsur radioaktif pada serpihan roket China

PUTRAJAYA, 2 OGOS: Tiada sebarang radiasi atau unsur radioaktif dikesan pada dua objek disyaki sisa serpihan roket China yang jatuh dan ditemukan di Sarawak baru-baru ini, menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

Mosti memaklumkan perkara itu disahkan pasukan siasatan yang melakukan siasatan lanjut terhadap dua objek yang dijumpai di Kampung Nyalau, Bintulu dan Kampung Sepupok Lama, Niah, Miri di Sarawak semalam.

Empat pegawai Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) daerah Bintulu bersama Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat serta polis daerah Bintulu telah menjalankan siasatan di lokasi pertama di Kampung Nyalau.

“Berdasarkan ukuran dan hasil siasatan awal mendapati bahawa objek pertama yang disyaki bersaiz sekitar lima inci berkenaan tidak mengeluarkan sebarang radiasi dan tiada unsur radioaktif dikesan pada objek tersebut.

“Ukuran dan hasil siasatan awal terhadap objek kedua di Niah, Miri turut menunjukkan hasil yang sama iaitu objek disyaki tidak mengeluarkan sebarang radiasi dan tiada unsur radioaktif dikesan,” menurut Mosti dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Mosti menjelaskan kedua-dua objek disyaki sisa serpihan roket China itu adalah selamat untuk dilaksanakan siasatan dan analisis seterusnya.

Mosti melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dengan kerjasama Jabatan Kimia akan menjalankan siasatan terperinci terhadap kedua-dua objek itu bagi menentusahkan sama ada objek tersebut ada kaitan dengan insiden kemasukan semula serpihan roket Long March 5B milik China atau tidak.

Hasil siasatan dan analisis akan dimaklumkan dan tindakan sewajarnya akan dipertimbangkan selaras Akta 834 (Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022) dan triti antarabangsa berkaitan angkasa di bawah kendalian United Nations Office for Outer Space Affairs (Unoosa), menurut Mosti.

Pada Ahad, media melaporkan terdapat serpihan roket Long March 5B milik China dikesan melintasi ruang udara Malaysia di beberapa kawasan termasuk sekitar Sarawak.

Mosti dalam kenyataan memaklumkan pemantauan secara berterusan pihaknya menerusi MYSA serta kenyataan oleh Agensi Angkasa China mendapati kemasukan semula serpihan roket berkenaan ke ruang udara bumi dikesan pada 12.55 tengah malam Sabtu waktu Malaysia.

Menurut Mosti, sisa serpihan itu direkodkan jatuh di sekitar Laut Sulu iaitu kawasan antara latitud 9.1 darjah Utara dan longitud 119.0 darjah Timur.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619