AGENDA

Ziyad hadiahkan pingat emas pertama di Solo untuk isteri

1 Ogos 2022, 5:37 AM
Ziyad hadiahkan pingat emas pertama di Solo untuk isteri

SOLO (Indonesia), 1 OGOS: Jaguh olahraga para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli sanggup meninggalkan isterinya yang sarat mengandung demi mengharumkan nama negara di Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 di sini.

Sebaik sahaja mengesahkan emas pertama negara di Solo menerusi acara lontar peluru F20 (masalah intelektual), beliau terus mendedikasikan kejayaan itu kepada isterinya Zafira Nasir yang dijangka melahirkan cahaya mata ketiga pasangan itu pada bila-bila masa.

Ia juga kali pertama dalam karier 12 tahunnya, atlet berusia 32 tahun itu mendapat penghargaan sebagai penyumbang emas pertama di temasya sukan.

"Walaupun isteri saya mungkin akan melahirkan anak bila-bila masa, saya tinggalkannya, korbankan diri untuk bertanding di sini. Saya nak hadiahkan pingat ini kepada beliau, serta jurulatih (Faizul Harun) dan rakan-rakan yang memberi sokongan," katanya dengan nada sebak.

Pasangan itu sebelum ini dikurniakan anak perempuan Zuhayrah Zafrah, 5, dan anak lelaki Thariq Xavier, 3.

Terdahulu, Muhammad Ziyad meraih pingat emas keempat berturut-turutnya di APG sejak edisi 2013, dengan lontaran sejauh 16.92 meter (m), manakala rakan sepasukannya Mohamad Aliff Mohamad Awi melengkapkan hatrik pingat perak dengan catatan 13.46m.

"Persaingan untuk tempat kedua tadi memang sengit atlet Thailand, Boonkong (13.29m), tetapi saya ambil semangat dari Ziyad untuk terus berjuang, dia seperti biasa sentiasa memberikan motivasi melakukan yang terbaik, walaupun dah tahu menang, nak turut bawa sekali rakannya.

"Jurang dengan Ziyad memang agak jauh, tetapi saya akan terus berusaha untuk mengejarnya. Sebelum ini saya bergelut dengan kecederaan lutut dan pinggang selama dua tahun," jelas Mohamad Aliff.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619