AGENDA

Elaun JKM, impak pemansuhan UPSR, PT3 tumpuan Dewan Rakyat hari ini

1 Ogos 2022, 12:29 AM
Elaun JKM, impak pemansuhan UPSR, PT3 tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Isu kenaikan kadar bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selaras dengan kenaikan kos sara hidup antara perkara yang akan dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini.

Persoalan itu akan diajukan oleh Mohd. Salim Sharif (BN-Jempol) semasa sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Mohd. Salim ingin tahu sama ada kementerian mempunyai rancangan untuk menaikkan kadar bantuan bulanan kepada penerima sedia ada supaya ia selari dengan kenaikan kos hidup masa kini.

Turut menjadi perhatian Ahli Parlimen ialah impak jangka panjang pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang dibangkitkan oleh Natrah Ismail (PH-Sekijang) kepada Menteri Kanan Pendidikan.

Beliau juga ingin tahu mengenai mekanisme Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengukur kelayakan kemasukan pelajar ke asrama penuh atau ke kolej lepasan tingkatan tiga selepas peperiksaan UPSR dan PT3 dimansuhkan.

Sementara itu, Pang Hok Liong (PH-Labis) meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah rizab negara setakat Mei 2022 dan jumlah rizab antarabangsa Bank Negara setakat Mei 2022 serta rancangan kerajaan untuk meningkatkan rizab negara.

Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) pula mengutarakan soalan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berkenaan kriteria yang akan diperhalusi oleh kementerian dalam membuka sempadan negara kepada lebih banyak negara luar seperti China.

Persidangan Dewan Rakyat hari ini juga akan menyaksikan sambungan perbahasan rang undang-undang bacaan kali kedua antaranya Rang Undang-Undang Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2022 serta Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619