AGENDA

HARAPAN: Larangan tukar parti bantu pulih proses demokrasi

29 Jul 2022, 7:42 AM
HARAPAN: Larangan tukar parti bantu pulih proses demokrasi

SHAH ALAM, 29 JULAI: Pakatan Harapan (HARAPAN) menyifatkan pindaan perlembagaan melarang ahli Parlimen melompat parti sebagai keputusan bersejarah dan kemenangan besar untuk rakyat.

Majlis Presiden HARAPAN percaya dengan lulusnya pindaan Perlembagaan semalam, keyakinan rakyat terhadap proses pilihan raya dan demokrasi itu sendiri mulai pulih.

"Namun begitu, masih banyak yang perlu dilakukan untuk memperbetul keadaan politik dan demokrasi dalam negara, serta menjamin episod khianat seperti Langkah Sheraton tidak akan berlaku lagi di masa hadapan.

"Dengan lulusnya pindaan Perlembagaan ini, maka 15 dari 18 Perkara yang dipersetujui memorandum persefahaman (MoU) antara HARAPAN dan kerajaan dan telah dilaksana," menurut kenyataan bersama.

Kenyataan itu dibuat Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohammad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Majlis presiden mengingatkan masih terdapat tiga perkara perlu dilaksana iaitu mengehadkan jawatan perdana menteri tidak lebih 10 tahun, membentang dan meluluskan rang undang-undang perkhidmatan Parlimen serta pindaan peraturan mesyuarat bagi memastikan Dewan Rakyat dan Dewan Negara berjalan lebih teratur dan lancar.

"Pada masa yang sama juga, perkara 4 iaitu kebebasan institusi kehakiman perlu terlaksana sepanjang masa.

"Majlis presiden mengambil maklum kenyataan perdana menteri dua hari lalu bahawa MoU baharu tidak akan ditandatangani. Ini bermakna MoU yang dimeterai pada 13 September 2021 terus berkuat kuasa selagi Parlimen ke-14 belum dibubarkan, sepert dinyatakan dalam perkara 2.1 MoU.

"Oleh itu, majlis presiden mengarahkan wakil HARAPAN dalam jawatankuasa pemandu MoU agar mengadakan mesyuarat pada kadar segera bersama wakil kerajaan.

"Mesyuarat ini bagi membincangkan beberapa perkara dalam MoU yang masih berbaki di samping meneliti perkara yang dinyatakan perdana menteri termasuk berkait pendanaan politik," katanya.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti, dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga..

Undi belah bahagian menyaksikan seramai 209 ahli Parlimen menyokong, tiada yang membangkang dan 11 tidak hadir.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619