AGENDA

Pasangan suami isteri, dua anak antara ditahan terlibat aktiviti edar dadah

28 Jul 2022, 2:59 PM
Pasangan suami isteri, dua anak antara ditahan terlibat aktiviti edar dadah

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Pasangan suami isteri dan dua anak mereka merupakan antara enam individu yang ditahan, kerana disyaki mengedar pelbagai jenis dadah dianggar bernilai RM328,385 di sekitar Lembah Klang, pada Isnin lepas.

Kesemua suspek yang berusia lingkungan 18 hingga 47 tahun itu, ditahan di sebuah kondominium di Jalan Kuching dan sebuah rumah teres di Taman Indah, Kepong, di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata kesemua suspek yang merupakan warga tempatan itu, telah bergiat aktif dalam kegiatan berkenaan sejak setahun lalu.

Beliau berkata modus operandi yang digunakan suspek empat sekeluarga itu adalah menghantar bekalan dadah kepada dua lagi suspek lain untuk dijual.

“Mereka (empat sekeluarga) itu juga akan menghantar (bekalan dadah) terus kepada pelanggan tetap, yang terdiri daripada kawan rapatnya di tempat yang ditetapkan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini.

Beh berkata empat sekeluarga berkenaan turut memproses ketamin di rumah mereka secara kecil-kecilan untuk dijual semula.

“Selain itu, pil eramin 5 dan pil ekstasi diperoleh dari pembekal lain di tepi jalan di Kuchai Lama, di sini dan polis turut merampas wang tunai RM49,057 melibatkan kesemua suspek,” katanya.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah berkenaan mampu menampung penggunaan seramai 2,045 penagih,” katanya sambil menambah kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952.

Beh berkata kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula Selasa lepas hingga 1 Ogos.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619