AGENSI

JKNS rampas 382 minuman alkohol bernilai hampir RM10,000

24 Jul 2022, 1:50 PM
JKNS rampas 382 minuman alkohol bernilai hampir RM10,000

SHAH ALAM, 24 JULAI: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) merampas sebanyak 382 botol minuman alkohol pelbagai jenama bernilai RM9,780 dalam Operasi Khas Penguatkuasaan Minuman Beralkohol seluruh negeri itu pada Selasa dan Rabu lepas.

Pengarahnya Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata sebanyak 15 notis di bawah Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985 turut dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan lain dengan nilai kompaun berjumlah RM47,500.

“Antara kesalahan yang ditemukan adalah kesalahan label iaitu tiada nama dan alamat pengimpot, tiada perkataan ‘Meminum Arak Boleh Membahayakan Kesihatan’ pada bungkusan dan gagal mempamerkan notis di hadapan lokasi jualan.

“Selain itu, penjual tidak meletakkan tanda larangan jualan minuman beralkohol kepada mereka yang berumur di bawah 21 tahun di kaunter jualan minuman beralkohol," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya 11 Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) termasuk Pusat Kesihatan (PK) di negeri itu digerakkan bagi menjalankan operasi tersebut.

Beliau berkata JKNS menyeru kepada semua pengguna dan pembeli agar lebih prihatin terhadap penjualan produk makanan terutamanya minuman beralkohol bagi mengelakkan kes keracunan metanol yang biasa dikaitkan dengan minuman tersebut.

“Pengguna juga boleh menyalurkan maklumat berkaitan premis yang melanggar perundangan makanan kepada PKD terdekat melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) atau di laman sosial Facebook JKNS,” katanya. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619