AGENDA

Ratusan ketua isi rumah mangsa bah Baling dapat bantuan wang, keperluan asas

21 Jul 2022, 8:05 AM
Ratusan ketua isi rumah mangsa bah Baling dapat bantuan wang, keperluan asas

OLEH SITI ROHAIZAH ZAINAL dan NORRASYIDAH ARSHAD

BALING, 21 JULAI: Seramai 400 ketua isi rumah yang terkesan musibah banjir di daerah ini pada awal Julai menerima bantuan kewangan berjumlah RM40,000 daripada Kerajaan Negeri.

Agihan kepada penduduk di tujuh kampung sempena Misi Selangor Penyayang 2.0 disempurnakan tiga EXCO negeri iaitu Mohd Khairuddin Othman, Rodziah Ismail dan Borhan Aman Shah.

Lokasi terlibat ialah Kampung Sadek, Kampung Raja, Kampung Kupang, Taman Mesra, Kampung Tanjung Merbau, Kampung Jerai dan Kampung Sebarang Jaya.

Menurut Mohd Khairuddin yang juga EXCO Pembangunan Generasi Muda, mangsa bah turut menerima tilam, bantal, selimut dan kit kebersihan bernilai RM30,000.

“Ini merupakan bantuan kekeluargaan dan kemanusiaan. Selangor akan terus membantu mana-mana penduduk selagi berkemampuan,” katanya ditemui pada majlis penyerahan di sini hari ini.

Serahan disempurnakan Setiausaha Kerajaan Selangor Dato’ Haris Kasim kepada Pegawai Daerah dan Tanah Baling Mohd Shahadan Abdullah.

Sementara itu, Mohd Shahadan berkata Selangor antara negeri terawal menghantar bantuan selepas beberapa kampung dinaiki air dalam kejadian awal bulan lalu.

“Langkah Selangor yang pantas berhubung secara rasmi memudahkan urusan bantuan. Kita juga dibantu Pulau Pinang, Pahang, Perak dan Perlis. Terima kasih kerana prihatin,” katanya.

Misi kali kedua itu turut disertai 150 anggota Skuad Pasukan Tindakan Segera (Pantas) dari 12 pihak berkuasa tempatan (PBT), Sukarelawan Selangor dan Team Selangor.

Pada 6 Julai, misi pertama disertai 262 anggota PBT dan sukarelawan membantu membersihkan puluhan kediaman mangsa banjir dengan 90 tan sampah pukal dikeluarkan dari kawasan tersebut.

Hujan lebat hampir tiga jam di Baling pada 4 Julai lalu menyebabkan paras air Sungai Kupang melimpah memasuki kediaman penduduk berdekatan dan mengorbankan tiga individu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619