AGENDA

JAS Selangor tahan tiga lelaki sebabkan tapak lupus sampah haram terbakar

18 Jul 2022, 1:51 PM
JAS Selangor tahan tiga lelaki sebabkan tapak lupus sampah haram terbakar

SHAH ALAM, 18 JULAI: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor menahan tiga lelaki disyaki mempunyai kaitan dengan kejadian kebakaran di tapak pelupusan sampah haram berdekatan Plaza Tol Sungai Long, Kajang yang berlarutan sejak 14 Julai lepas hingga hari ini.

Pengarah JAS Selangor Nor Aziah Jaafar berkata ketiga-tiga mereka ditahan semasa hadir di pejabat JAS Cawangan Kajang hari ini bagi membantu siasatan terhadap kesalahan melakukan pembakaran terbuka mengikut Seksyen 29A, Larangan atas pembakaran terbuka, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Beliau berkata jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

“Individu-individu yang berumur antara 35 hingga 45 tahun itu ditahan merupakan penjaga tapak pelupusan sampah haram tersebut dan rakan kongsi perniagaan yang menyewa tapak tersebut daripada pemilik tanah.

Kertas siasatan kini sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Negeri untuk izin dakwa di bawah Seksyen 44, Akta yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nor Aziah berkata berikutan musim panas dan kering yang sedang dialami negara, kebakaran terbuka mudah berlaku terutama di kawasan tanah gambut dan tapak-tapak pelupusan sampah yang tidak dikawal.

“Saya menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800- 88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e-mel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619