AGENDA

PPAS: Khidmat pinjam buku Booksfly2U dicontohi perpustakaan Singapura

15 Jul 2022, 4:00 AM
PPAS: Khidmat pinjam buku Booksfly2U dicontohi perpustakaan Singapura

PETALING JAYA, 15 JULAI: Perkhidmatan Booksfly2U yang diperkenalkan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) sejak dua tahun lalu dicontohi Perpustakaan Negara Singapura.

Pengarah PPAS berkata pihaknya difahamkan pusat sumber di republik itu mula menawarkan khidmat tempahan pinjaman buku kepada pengguna secara e-panggilan beberapa bulan lepas.

"Sebelum ini kita berkongsi konsep yang diguna pakai dalam perkhidmatan ini. Kita memang tidak bangunkan apa-apa aplikasi selain tiada perbelanjaan dikeluarkan, sebaliknya (menggunakan) tenaga manusia.

"Mereka tertarik dan sudah melaksanakan perkhidmatan ini kepada rakyat di sana. Mereka juga akan melawat perpustakaan desa yang ada di Selangor pada September depan," kata Datin Paduka Mastura Muhamad.

Beliau ditemui selepas majlis makan malam sempena sambutan jubli emas PPAS dan pemukiman sasterawan di Hotel Le'Meridien di sini, malam tadi.

Beliau berkata jumlah pengguna perkhidmatan Booksfly2U dijangka meningkat kepada 8,000 menjelang akhir tahun ini.

"Setakat ini lebih 4,000 pengguna direkodkan dan kita akan mempergiat publisiti bagi mencapai sasaran. Perkhidmatan ini sangat mudah, apatah lagi pengguna boleh memilih sama ada mahu dihantar atau mengambil sendiri buku di perpustakaan," katanya.

Khidmat pinjaman buku BooksFly2U dilancar pada 16 Julai 2020 selepas mengambil kira keperluan masyarakat yang mahu mengakses bahan bacaan fizikal dari perpustakaan terutama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beroperasi setiap hari kecuali cuti umum dari jam 9 pagi hingga 5 petang, peminjam hanya perlu membuat panggilan telefon atau menghantar pesanan tajuk buku ke nombor 010-8491448 atau 03-55197667.

Dalam tempoh dua hari, petugas perpustakaan akan mengatur penghantaran menggunakan khidmat e-panggilan dengan kos penghantaran serta pemulangan semula buku ditanggung peminjam.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619