AGENDA

SPRM siasat dakwaan salah laku projek ladang durian punca banjir di Baling

10 Jul 2022, 2:01 PM
SPRM siasat dakwaan salah laku projek ladang durian punca banjir di Baling

ALOR SETAR, 10 JULAI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengumpul maklumat dan membuat tinjauan bagi menentukan sekiranya wujud unsur rasuah atau salah laku berkaitan pembangunan projek ladang hutan durian Musang King di Gunung Inas, Kupang, Baling.

Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata ia adalah langkah awal suruhanjaya itu untuk mengenal pasti sekiranya wujud sebarang kesalahan di bawah bidang kuasanya yang dilakukan oleh mana-mana pihak berkaitan.

"Buat masa ini pihak kami akan menemui dan menemu duga pegawai agensi terlibat dan mereka yang boleh membantu kami bagi tujuan pengumpulan maklumat yang relevan.

"Jika ada asas berlaku kesalahan rasuah, maka pihak kami akan ambil tindakan sewajarnya.  Jika berlaku sebarang pelanggaran prosedur maka perkara ini akan dirujuk kepada pihak yang terlibat untuk tindakan penambahbaikan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata SPRM akan mendapatkan dokumen dan kenyataan saksi yang terlibat dalam membuat keputusan pada peringkat awal projek itu diluluskan atau lebih awal daripada itu.

Shaharom Nizam berkata sekiranya SPRM tidak menemukan sebarang kesalahan di bawah bidang kuasanya, suruhanjaya itu akan menyerahkan kepada agensi lain untuk tindakan lanjut.

Pada 4 Julai lepas, beberapa kawasan di Baling dilanda banjir selepas hujan lebat berterusan selama tiga jam menyebabkan 1,490 penduduk terjejas selain meragut tiga nyawa.

Pembangunan ladang durian Musang King di Gunung Inas, berhampiran kawasan tragedi didakwa menyumbang kepada kejadian itu yang mendorong desakan pelbagai pihak agar siasatan dilakukan ke atas projek itu.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619