AGENDA

Mangsa banjir dinasihat tinggal di pusat pemindahan, MetMalaysia ramal hujan berterusan

8 Jul 2022, 8:24 AM
Mangsa banjir dinasihat tinggal di pusat pemindahan, MetMalaysia ramal hujan berterusan

BALING, 8 JULAI: Penduduk berhampiran Sungai Kupang di sini yang terjejas bencana banjir dan fenomena kepala air Isnin lepas dinasihatkan supaya tinggal di penempatan lain atau pusat pemindahan sementara (PPS) buat sementara waktu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata langkah itu bagi mengelak sebarang risiko kejadian sama berulang susulan Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca hujan dan ribut petir di daerah ini dalam beberapa hari akan datang.

"Tadi masa kita buat perbincangan dengan Ketua Polis Daerah Baling (Supt Shamsuddin Mamat), saya telah maklumkan kalau boleh semua orang kampung di kawasan berhampiran sungai itu harus kita bawa mereka keluar untuk mereka tinggal di kawasan penempatan lain.

"Kita tidak tahu bila air sungai datang mengejut terutamanya waktu kita sedang tidur. Sebab itu saya katakan waktu malam kita terpaksa ambil (pindahkan) mereka dan letak di suatu tempat yang lebih selamat," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu beliau menziarahi mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai dan meninjau kawasan banjir di Kampung Iboi di sini.

Hamzah berkata pada waktu siang, penduduk yang terlibat boleh dibenarkan kembali ke rumah masing-masing dengan bantuan anggota keselamatan bagi menjaga keselamatan mereka.

Menurutnya lebih 700 anggota dan pegawai pelbagai agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri dikerahkan ke kawasan banjir di daerah ini bagi membantu penduduk terjejas.

Beliau berkata penduduk yang mengalami kerosakan atau kehilangan dokumen pengenalan diri sama ada kad pengenalan, sijil kelahiran dan pasport akibat kejadian itu akan diberikan penggantian percuma oleh agensi berkaitan.

"Segala perbelanjaan untuk penggantian itu kita kecualikan. Ini kita lakukan setiap kali ada bencana memang saya umumkan bantuan seperti ini," katanya.

Banjir dan fenomena kepala air pada petang Isnin lepas menjejaskan 805 rumah di 12 kampung dan turut mengorbankan nyawa tiga sekeluarga termasuk seorang wanita hamil.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619