AGENSI

Galeri Shah Alam belanja lebih RM250,000 rancak aktiviti seni

6 Jul 2022, 10:21 AM
Galeri Shah Alam belanja lebih RM250,000 rancak aktiviti seni

SHAH ALAM, 6 JULAI: Galeri Shah Alam membelanjakan lebih RM250,000 daripada RM1 juta bantuan geran Kerajaan Negeri bagi merancakkan aktiviti kesenian di Selangor.

Pengarahnya Alina Abdullah berkata pelbagai aktiviti dianjurkan merangkumi pameran, bengkel, Jom Masuk Universiti termasuk program untuk kanak-kanak.

"Setiap tahun kita memang hantar kertas kerja kepada Kerajaan Negeri, alhamdulillah peruntukan diperoleh banyak membantu kami untuk bergerak memandangkan galeri ini satu-satunya di Selangor.

"Insya-Allah sehingga akhir tahun banyak program lain dirancang untuk membantu masyarakat setempat termasuk empat pameran seni yang bakal dianjurkan," katanya hari ini.

Ditemui pada majlis perasmian Pameran Sembuh di Hab Media Kreatif Universiti Teknologi Mara di sini, Alina memaklumkan kos penganjuran pameran kebiasaannya mencecah RM6,000.

"Cuma setiap tiga kali seminggu, kita mengadakan bengkel seni. Kita juga melihat kepada pengisian program itu sendiri," katanya lagi.

Pada 26 Februari lalu, Galeri Shah Alam menganjurkan Pasar Seni Genta bagi membantu pemulihan industri kreatif yang suram akibat pandemik Covid-19.

Program itu menghimpunkan kumpulan muzik seperti Band Mim, Band Motherwit, Band Wani Ardy dan Band Runs manakala pemuisi Aliff Awan, Syahirah Wasabi, Leia Hassan, Jack Malik dan Mosyuki Borhan.

Pelbagai barangan seni dan kraf, buku serta makanan dan minuman turut dijual kepada pengunjung dengan matlamat melonjakkan kembali ekonomi setempat.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang Galeri Shah Alam melalui pautan https://galerishahalam.com/ untuk maklumat lanjut.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619