AGENDA

Masters Malaysia: Aaron-Wooi Yik mara, Sze Fei-Nur Izzuddin terkandas

5 Jul 2022, 3:47 PM
Masters Malaysia: Aaron-Wooi Yik mara, Sze Fei-Nur Izzuddin terkandas

KUALA LUMPUR, 5 JULAI: Beregu utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik memulakan kempen Masters Malaysia 2022 dengan cemerlang apabila menewaskan Akira Koga-Taichi Saito dari Jepun pada pusingan pertama hari ini.

Pilihan kelima kejohanan itu tidak mengecewakan peminat di Axiata Arena dengan mempamerkan permainan yang baik untuk mencatatkan kemenangan 21-16, 21-19.

Pemenang gangsa Olimpik Tokyo itu akan menentang Kim Gi Jung-Kim Sa Rang dari Korea Selatan yang mengetepikan beregu Taiwan Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan 14-21, 21-15, 21-19.

Aaron, yang ditemui selepas perlawanan mengakui masih belum melupakan kekalahan pada separuh akhir Sabtu lepas kepada beregu nombor dua dunia Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-23, 9-21 dalam Terbuka Malaysia 2022.

“Perasaan itu masih ada ketika berada di gelanggang dan kami harap dapat mengatasinya dalam perlawanan menentang beregu Korea Selatan esok. Kami tidak akan ambil mudah lawan kami selepas ini kerana mereka adalah beregu yang bagus,” katanya.

Sementara itu satu lagi beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani gagal membalas dendam ke atas kekalahan mereka pada separuh akhir di Terbuka Malaysia 2022 di tangan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto selepas sekali lagi ditewaskan pasangan Indonesia itu hari ini.

Beberapa siri kesilapan mudah mengakibatkan juara Terbuka Jerman 2022 itu kecundang 14-21, 20-22.

Nur Izzuddin mengakui persembahan mereka tidak jauh berbeza daripada Sabtu lepas, manakala Sze Fei berkata mereka perlu menguatkan ketahanan mental supaya dapat menangani tekanan dengan lebih baik dalam kejohanan selepas ini.

Sementara itu, beregu profesional Goh V Shem-Low Juan Shen bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan beregu Indonesia Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana 15-21, 21-14, 21-19.

V Shem-Juan Shen bakal berdepan halangan sukar menentang Hoki-Kobayashi selepas beregu Jepun itu mengalahkan beregu China Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 21-18, 22-24, 22-20.

Dalam pertemuan antara dua beregu negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mengatasi beregu profesional Nur Mohd Azriyn Ayub-Lim Khim Wah, 21-13, 21-14, sekali gus mengatur pertemuan dengan satu lagi beregu Malaysia iaitu Boon Xin Yuan-Wong Tien Ci-Wan atau Muhammad Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazrin dalam pusingan kedua.

Yee Jun Chang-Yap Roy King turut melangkah ke pusingan kedua selepas berjaya menundukkan Joshua Magee-Paul Reynolds dari Ireland, 21-14, 22-20.

Jun Chang-Roy King akan berdepan pemenang perlawanan pusingan pertama antara pasangan China He Ji Ting-Zhou Hao Dong dan beregu Taiwan Chang Ko-Chi-Po Li-Wei.

Bagaimanapun beregu professional Tan Kian Meng-Tan Wee Kong dikalahkan pilihan ketiga kejohanan Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia 18-21, 13-21.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619