AGENDA

JPA: Kerja empat hari seminggu peringkat penelitian, kajian

5 Jul 2022, 10:36 AM
JPA: Kerja empat hari seminggu peringkat penelitian, kajian

PUTRAJAYA, 5 JULAI: Cadangan waktu bekerja empat hari seminggu adalah di peringkat penelitian dan kajian sahaja, kata Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.

Beliau berkata walaupun beberapa negara sedang melaksanakan waktu bekerja empat hari seminggu secara percubaan, JPA berpandangan pendekatan itu hendaklah dilihat secara holistik terutama dari segi kesesuaian dan keberkesanan terhadap struktur perkhidmatan awam di negara ini.

“JPA amat cakna akan kesan dan impak pelaksanaan sebarang dasar baharu terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam khususnya ketika kerajaan dalam proses merancakkan semula ekonomi negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 30 Jun lepas, Mohd Shafiq berkata JPA menubuhkan satu pasukan khas yang akan mengkaji pelaksanaan waktu bekerja empat hari dalam seminggu kerana terdapat tuntutan daripada beberapa pihak yang inginkan kerajaan melihat perkara berkenaan dengan lebih terperinci.

Semalam, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat berkata waktu bekerja empat hari seminggu belum sesuai dilaksanakan di Malaysia ketika ini kerana terdapat perkara lain melibatkan hal-hal kebajikan serta kadar gaji semasa pekerja yang masih perlu diselesaikan kerajaan dan majikan.

Mohd Shafiq berkata JPA mengambil maklum pandangan Cuepacs dan pelbagai pihak berhubung cadangan waktu bekerja empat hari seminggu itu, selain sentiasa terbuka untuk mendapatkan input menyeluruh daripada pihak berkepentingan bagi mengkaji secara empirikal kebolehlaksanaan cadangan tersebut.

"JPA juga sentiasa mengkaji pelbagai aspek dari segi kemudahan, kemajuan kerjaya dan penambahbaikan proses kerja yang menjurus ke arah peningkatan sistem penyampaian perkhidmatan awam berpaksikan rakyat," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619