ad
ADN

100 individu sertai saringan mata percuma DUN Kampung Tunku

4 Jul 2022, 11:30 AM
100 individu sertai saringan mata percuma DUN Kampung Tunku

SHAH ALAM, 4 JULAI: Seramai 100 individu menyertai saringan mata secara percuma anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku pada 2 Julai lalu.

Wakil rakyat Lim Yi Wei berkata program itu diadakan di SS2 bermula jam 8 pagi hingga 1 tengah hari dengan menawarkan tiga jenis saringan yang diperiksa khas oleh RX Optometry.

"Tiga jenis ujian itu adalah pemeriksaan penglihatan, penilaian mata kering dan katarak. Turut dibuka kaunter konsultasi untuk peserta bertanya berhubung kebimbangan mengenai penglihatan mereka," katanya menerusi kenyataan.

Yi Wei berkata pihaknya mengguna sistem slot waktu kepada peserta supaya mereka tidak perlu menunggu lama sebaliknya boleh pergi ke lokasi lain terlebih dahulu sebelum tiba giliran pemeriksaan.

Jelasnya, inisiatif itu dibuat bagi mengurangkan kesesakan orang ramai di lokasi dan sistem itu juga menerima maklum balas positif daripada peserta.

"Kita turut membuka kaunter pendaftaran program Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Peduli Sihat yang merupakan inisiatif peduli rakyat di bawah Kerajaan Negeri.

"Secara keseluruhannya, maklum balas yang diterima amat baik dan kami menggalakkan penduduk mengikuti platform media sosial Pusat Khidmat ADN Kampung Tunku supaya dapat tahu mengenai program komuniti dan Kerajaan Selangor," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.