AGENDA

Sultan: Tunjuk teladan agar kaum lain hormat, hayati dialog filem Mat Kilau

4 Jul 2022, 7:53 AM
Sultan: Tunjuk teladan agar kaum lain hormat, hayati dialog filem Mat Kilau

SHAH ALAM, 4 JULAI: Pemimpin Melayu yang gagal menunjukkan kepimpinan baik dan bertanggungjawab boleh menyebabkan kaum lain hilang hormat sekali gus tidak memberi sokongan padu.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bertitah mereka juga perlu bekerjasama dengan parti politik pelbagai kaum bagi menjamin pembangunan negara dan keselesaan hidup rakyat.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah pembangunan dan kemajuan sesebuah negara amat bergantung kepada kepimpinan stabil di samping tidak berbalah sesama sendiri.

"Andai kata pemimpin Melayu gagal menunjukkan kepimpinan baik dan bertanggungjawab, kaum lain akan hilang rasa hormat sekali gus tidak akan memberi sokongan padu," titah Baginda dalam kenyataan hari ini.

"Di samping mengamalkan sikap kepimpinan baik dan tidak berbalah sesama sendiri, pemimpin politik Melayu harus juga bekerjasama dengan pemimpin parti politik kaum lain bagi menjamin pembangunan negara dijadikan keutamaan demi keselesaan hidup rakyat pelbagai kaum."

Baginda turut menitahkan pemimpin politik Melayu menghayati dialog filem Mat Kilau yang memaparkan bagaimana perpecahan kaum boleh mengakibatkan pihak luar mudah menguasai negara.

Titah Baginda, karya tersebut juga bertepatan mesej bahawa kekuatan sesuatu bangsa terletak pada semangat perpaduan dan pegangan agama Islam yang utuh.

"Beta menggalakkan masyarakat terutama orang Melayu untuk menonton filem ini agar ia boleh dijadikan teladan dan pengajaran kepada kita semua.

"Sesebuah tamadun dan negara boleh runtuh seandainya kita tidak bersatu-padu dan bekerjasama dalam mempertahankannya," titah Sultan Selangor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619