AGENDA

Aplikasi Tabung Haji mudahkan jemaah rujuk cuaca, lokasi di tanah suci

4 Jul 2022, 7:23 AM
Aplikasi Tabung Haji mudahkan jemaah rujuk cuaca, lokasi di tanah suci

Daripada Zalina Maizan Ngah

MAKKAH, 4 JULAI: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini melancarkan aplikasi THhujjaj bagi memudahkan jemaah Malaysia sepanjang berada di Tanah Suci.

Bukan sekadar medium bagi merujuk persoalan agama, THhujjaj yang dibangunkan TH turut membantu jemaah mendapatkan maklumat semasa seperti cuaca, lokasi serta peta di Makkah dan Madinah.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata pelbagai maklumat penting terkandung dalam aplikasi itu dan ia memudahkan jemaah bermula sejak mereka menerima tawaran menunaikan rukun Islam kelima itu.

“Apabila mereka hendak bergerak ke Arafah, Muzdalifah dan Mina nanti… semua maklumat ada di dalam aplikasi ini. Mereka juga boleh mengulang kaji bimbingan haji kerana terdapat nota dan video berkaitan ibadah, kursus asas dan kursus perdana,” katanya.

Seorang jemaah haji, Abang Muhammad Faidy Razak berkata beliau telah memuat naik aplikasi itu sejak berada di tanah air bagi mendapatkan maklumat berkaitan jadual penerbangan dan lokasi penginapan.

“Saya dapati aplikasi ini mengandungi informasi menarik untuk jemaah. Contohnya, cuaca di Madinah dan Makkah, waktu solat, selain terdapat bimbingan untuk jemaah haji bertanya kepada yang lebih pakar.

“Paling saya suka, THhujjaj mengandungi perkongsian hadis, kita boleh baca setiap hari,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran aplikasi itu di bangunan Qsar Al Janadriah, yang menempatkan jemaah Malaysia.

Nur Hidayah Din Hatt Abdullah pula menyifatkan aplikasi itu membantunya mendapatkan informasi berkaitan pergerakan di Madinah dan Makkah serta hari wukuf, yang akan tiba empat hari lagi.

“Ia (THhujjaj) sangat membantu… apabila sampai di Tanah Suci, ia membantu urusan pergerakan dan hotel penginapan.

“Dapat tahu jarak perjalanan ke hotel dan di Mina nanti, saya dapat mengetahui lokasi ke tempat melontar jamrah,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619