AGENDA

MB: Unit khas urus program usahawan, perkasa sosioekonomi komuniti India

4 Jul 2022, 12:00 AM
MB: Unit khas urus program usahawan, perkasa sosioekonomi komuniti India

KLANG, 4 JULAI: Semua program keusahawanan komuniti India negeri ini dihimpunkan di bawah unit khas kendalian pejabat menteri besar.

Dato' Menteri Besar berkata gabungan inisiatif sedia ada dengan beberapa penambahbaikan bertujuan memperkasa sosioekonomi kaum terbabit terutama dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40).

"Saya percaya di Selangor nanti akan ada institusi seperti Dewan Perniagaan Malaysia (DPM) yang menghimpunkan ramai usahawan. Mereka (DPM) mula latih usahawan sejak di peringkat belia dan universiti.

"Kita akan laksanakan sebaik mungkin. Bukan tumpu beri bantuan alatan niaga atau salur dana semata-mata, sebaliknya bimbing mereka kerana keusahawanan adalah soal sikap, pemikiran dan taktik bagaimana mahu maju dalam perniagaan," kata Dato' Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap dalam program hala tuju membentuk naratif pembangunan masyarakat India di Malaysia di Hotel Wyndham Achmar di sini, malam tadi

Program mengumpulkan 96 peserta daripada 63 badan bukan kerajaan (NGO) turut dihadiri Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook dan Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunaraj.

Dalam pada itu, Amirudin berkata pemberian bakul makanan bukan lagi jalan penyelesaian terbaik untuk membantu golongan terbabit keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Saya percaya pendapatan merupakan isu besar sering membelenggu masyarakat India. Mereka tidak boleh lagi diberi dengan bakul makanan kerana mereka juga mementingkan maruah yang perlu dipertahankan.

"Kalau dulu di ladang, buat makan tujuh hari tujuh malam tetapi bagi saya ini bukan solusinya, tetapi (penyelesaiannya adalah) sistem program keusahawanan yang baik dan menyeluruh untuk komuniti India," katanya.

Kerajaan Negeri melaksanakan program khusus untuk masyarakat India seperti Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) yang menawarkan latihan pembangunan usahawan, kursus kemahiran dan pembuatan, bimbingan perniagaan serta bantuan alatan niaga atau geran.

Selain itu, Selangor turut memperuntuk RM1.7 juta pada April tahun lalu bagi menjayakan program India Selangor Empowerment and Entrepreneurs Development (i-seed) melalui pemberian bantuan peralatan bergantung kepada perniagaan yang diusahakan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619