AGENDA

Dadah: 599 pusat hiburan di ibu kota diserbu sejak 2019

29 Jun 2022, 12:14 AM
Dadah: 599 pusat hiburan di ibu kota diserbu sejak 2019

KUALA LUMPUR, 29 JUN: Sebanyak 599 pusat hiburan di ibu kota diserbu sejak 2019 hingga kini dalam usaha membanteras aktiviti penggunaan dan pengedaran dadah di premis terbabit.

Menerusi serbuan itu, seramai 2,148 individu ditahan kerana disyaki terlibat dengan penggunaan dan pengedaran dadah manakala sebanyak 6.1 kilogram pelbagai jenis dadah dirampas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata sejak Januari lepas hingga kini, polis telah menyerbu 55 pusat hiburan dan menahan 160 orang selain merampas lebih lima kilogram dadah.

"Operasi turut melibatkan keseluruhan pengeluaran kompaun lebih RM1 juta di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Sepanjang tempoh operasi dilakukan, sebanyak 15 premis hiburan yang terlibat dengan kegiatan dadah telah ditutup," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini semalam.

Mengulas dakwaan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan mengenai 15 pusat hiburan di ibu kota yang dikesan melakukan kesalahan berkaitan dadah didalangi pemilik premis dan sindiket dadah, beliau berkata polis mengalu-alukan maklumat daripada mana-mana pihak berhubung perkara itu.

"Saya ada dimaklumkan oleh pegawai mengenai kenyataan itu namun masih belum menerima sebarang maklumat rasmi. Sekiranya terima maklumat, siasatan dan tindakan sewajarnya akan diambil," katanya.

Musa yang juga Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) dilaporkan akan menyerahkan senarai 15 pusat hiburan itu kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dalam masa terdekat.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619