AGENDA

Jangan sertai kumpulan WhatsApp tidak berfaedah elak nombor dikongsi sindiket

28 Jun 2022, 1:09 PM
Jangan sertai kumpulan WhatsApp tidak berfaedah elak nombor dikongsi sindiket

PUTRAJAYA, 28 JUN: Nombor telefon merupakan data peribadi yang paling berharga ketika ini dan berisiko digunakan pihak tidak bertanggungjawab sama ada untuk mengaut keuntungan atau menganiaya seseorang, kata Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi Mazmalek Mohamad.

Dalam satu taklimat media mengenai data peribadi di sini hari ini, beliau menasihatkan rakyat negara ini agar tidak menyertai pelbagai kumpulan WhatsApp yang tidak berfaedah bagi mengelak berlaku perkongsian nombor telefon tanpa disedari.

“Kadang-kadang kita tidak kenal semua ahli kumpulan. Tanpa kita sedari, ada di antara ahli kumpulan secara diam-diam kongsi nombor telefon kita dengan orang lain.

Apabila semua nombor telefon dalam kumpulan itu telah dikongsi dengan ‘scammer’ atau agensi telepemasaran, mereka akan tinggalkan kumpulan WhatsApp dan sertai kumpulan lain pula,” katanya taktik berkenaan memudahkan sindiket penipuan atau telepemasaran memiliki nombor telefon secara mudah.

Menurut Kaji Selidik Pengguna Internet 2020 yang dijalankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), katanya 98.7 peratus rakyat negara ini memilih aplikasi WhatsApp sebagai medium komunikasi utama.

“Jumlah ini tinggi, kalau semua nombor telefon ini dikongsi dengan mudah, maka ramai rakyat kita terdedah dengan jenayah penipuan,” katanya.

Mazmalek dalam pada itu berkata pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) dijangka dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini dan ia kini dalam proses semakan oleh Jabatan Peguam Negara.

Namun, katanya terpulang kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa untuk tarikh yang sesuai untuk dibentangkan pindaan itu di Parlimen.

Pada 12 Feb 2020, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dilaporkan menjalankan rundingan awam berhubung cadangan pindaan Akta 709 bagi memperkasa perlindungan data peribadi di Malaysia di samping memastikan akta berkenaan selari dengan kehendak revolusi ekonomi digital, teknologi, sosial dan perkembangan persekitaran.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619