AGENDA

Pelajar tingkatan empat maut ditekup bantal, teman lelaki ditahan

27 Jun 2022, 8:55 AM
Pelajar tingkatan empat maut ditekup bantal, teman lelaki ditahan

KLANG, 27 JUN: Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun mati dipercayai dibunuh oleh teman lelakinya di rumah lelaki itu di Kampung Idaman, Pandamaran, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Cha Hoong Fong, berkata pihaknya menerima panggilan telefon kira-kira jam 3.40 pagi yang memaklumkan terdapat seorang remaja perempuan dalam keadaan tidak sedarkan diri di halaman rumah itu.

“Pada jam 2 pagi semalam, suspek membawa mangsa ke bilik rumahnya, kemudian berlaku perselisihan faham dan suspek dipercayai telah menyebabkan kematian mangsa. Suspek kemudian telah mengangkat mangsa dan membawa keluar dari bilik hingga ke halaman rumah.

“Kemudian suspek meminta bantuan daripada ahli keluarganya yang sedang tidur di dalam rumah tersebut. Ahli keluarga kemudian menelefon polis memaklumkan mengenai kejadian itu dan kematian mangsa disahkan oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, di sini, hari ini.

Katanya, suspek berusia 24 tahun itu dan mangsa, pelajat tingkatan empat, sudah berkenalan selama setahun serta hubungan mereka diketahui keluarga masing-masing, selain mangsa tinggal di Puchong bersama bapa saudaranya.

Cha berkata hasil pemeriksaan awal pada badan mangsa mendapati beberapa kesan calar dan lebam di bahagian muka dan leher.

“Laporan bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas akibat ditekup,” katanya.

Beliau berkata suspek, yang tiada rekod lampau, ditangkap di lokasi kejadian dan kini direman sehingga 3 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619